|
USM, UniSIM martabatkan bahasa Melayu di Singapura -
12-23-2008, 06:21 AM
PULAU PINANG 16 Dis. - Martabat bahasa Melayu di Singapura akan diangkat selepas Universiti Sains Malaysia (USM) dan SIM University (UniSIM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menjalinkan kerjasama dalam program baru yang ditawarkan di UniSIM.
Program Sarjana Muda Sastera Bahasa Melayu dan Kesusasteraan (BAML) yang ditawarkan oleh UniSIM itu akan memberi tumpuan menyeluruh termasuk pengajaran sejarah, asal-usul dan perkembangan sesuatu tamadun melalui bahasa Melayu di seluruh nusantara.
Presiden UniSIM, Prof. Cheong Hee Kiat berkata, pihaknya memandang serius untuk mencapai objektif kerjasama itu dalam melahirkan rakyat yang lebih peka terhadap kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa yang banyak digunakan di Asia Tenggara.
"Sebagai sebuah negara di Asia Tenggara, kami sedar bahawa terdapat lebih 300 juta penduduk menggunakan bahasa ini, oleh itu wujud kepentingan ilmu dalam bidang ini diajar kepada rakyat Singapura.
"Malaysia adalah negara terbaik di mana penduduknya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa harian sebab itulah kami sangat berbesar hati dapat menjalin kerjasama ini dengan USM," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani MoU antara USM dan UniSIM di sini hari ini.
Hadir sama adalah Naib Canselor USM, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.
Hee Kiat berkata, program baru yang ditawarkan ini akan dapat memberi galakan kepada masyarakat Cina dan India di negara itu untuk mempelajari Bahasa Melayu dengan lebih mendalam.
"Kita semua tahu golongan ini tidak semestinya akan belajar keseluruhan program yang ditawarkan tetapi sekurang-kurangnya mereka boleh memilih beberapa kursus berkaitan yang ditawarkan di dalam program tersebut," jelasnya.
Sementara itu, Dzulkifli berkata, kerjasama ini hadir pada masa yang sangat sesuai terutama sekali selepas timbul beberapa isu yang membabitkan maksud sesuatu kenyataan yang digunakan.
"Saya bagi contoh mengenai 'isu ketuanan Melayu' yang banyak dibangkitkan baru-baru ini. Melalui pengetahuan dan pembelajaran yang betul kita akan dapat memahami apakah maksudnya 'tuan' dan apa pula bezanya 'ketuanan'.
"Oleh itu melalui langkah ini kita akan dapat membawa masyarakat bersama ke arah satu perpaduan tanpa menimbulkan salah faham mengenai penggunaan sesuatu bahasa," ujarnya.
Dalam pada itu, Hee Kiat berkata, BAML akan mula diajar di UniSIM pada Januari 2009 dengan pengambilan pertama melibatkan 50 pelajar untuk melihat sejauh mana keberkesanannya.
Katanya, jumlah tersebut akan ditingkatkan kepada 100 pelajar menjelang Julai depan dan ia akan ditambah dari semasa ke semasa.
"Kita akan bermula sedikit demi sedikit untuk memastikan objektif utama kita akan tercapai.
"Dalam hal ini, USM akan menawarkan khidmat pensyarah mereka untuk datang ke negara ini mengajar dalam beberapa kursus utama kerana mereka memiliki kepakaran yang amat kita perlukan," jelasnya.
(Utusan, 17 November 2008, ms 25, Dalam Negeri)
|