|
Utara: Sejarah kolonial dalam Galeri Komanwel -
10-18-2008, 12:19 PM
GEORGETOWN: Seorang veteran perang, Yahaya Shafii, mengambil inisiatif mewujudkan sebuah Galeri Komanwel dengan mengumpul bahan sejarah pemerintahan British, Jepun dan komunis di rumahnya Kampung Binjai, Bayan Lepas, dekat sini.
Bagi merealisasikan impiannya mempamerkan bahan sejarah untuk tatapan umum khususnya generasi muda, Yahaya, 74, sanggup membelanjakan RM50,000 untuk mendapatkan bahan sejarah termasuk dari luar negara.
Galeri itu mempunyai tiga bahagian di rumah dua tingkat iaitu pameran koleksi gambar ketenteraan di bahagian bawah, manakala tingkat atas pula tayangan audio visual.
Ia dibuka setiap hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad dan tiada sebarang bayaran dikenakan, mulai jam 10 pagi hingga jam 6 petang sejak 28 November 2006.
"Galeri ini turut memaparkan sejarah pembabitan saya sebagai anggota tentera dalam Rejimen Artileri Diraja British (1950-1983) dan Pengarah Pasukan Kawalan Malaysia Cawangan Ulu Kinta (1983-1984)," katanya ketika ditemui di Galeri Komanwel itu.
Yahaya adalah bekas Pengarah Rela Pulau Pinang (1984-1989); Setiausaha Persatuan Perajurit Negeri Pulau Pinang (1995-1998) dan kini memegang jawatan Setiausaha Kerja Majlis Keselamatan Jalan Raya Pulau Pinang.
Beliau yang dilahirkan pada 11 Julai 1934 adalah anak Melayu pertama mendapat kelulusan daripada Sekolah Pertahanan Nuklear Biologi dan Kimia di Wales dan pangkat terakhir pernah disandangnya ialah Pegawai Waran I.
Yahaya berkata, galeri itu sering menjadi tumpuan pelancong asing termasuk bekas anggota tentera dari Australia, New Zealand, Singapura dan Hong Kong yang pernah bertugas bersamanya satu ketika dulu.
Bagaimanapun, katanya, masih ramai pelawat tidak mengetahui kewujudan sebuah galeri tentera Komanwel itu.
Sehubungan itu, bagi mempromosi bahan sejarah yang dipamerkan di galeri berkenaan, Yahaya bercadang untuk memindahkan Galeri Komanwel ke Universiti Sains Malaysia (USM) bagi membolehkan lebih ramai orang mengunjunginya.
Beliau sudah berbincang dengan Naib Canselor USM, Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, Februari lalu dan kedua-dua pihak bersetuju untuk memindahkan koleksi bahan sejarah itu.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini, belum ada sebarang kata putus diberikan oleh USM untuk merealisasikan hasrat itu.
"Saya berharap agar USM dapat mempercepatkan cadangan bagi memindahkan koleksi bahan sejarah itu galeri tentera komanwel ini," katanya.
Beliau berkata, apabila dipindahkan nanti, pihaknya berharap ia akan dapat dikunjungi warga kampus dan orang ramai terutama ketika berlangsungnya majlis konvokesyen.
-bharian.com.my-
|