PULAU PINANG, 25 Sept – Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu!
Demikian pepatah tepat bagi menggambarkan tuah yang diterima seorang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) apabila terpilih untuk berkunjung ke Benua Antartika setelah memenangi satu pertandingan anjuran National Geographic Channel (NGC) baru-baru ini.
Pelajar berkenaan, Muhammad Aizuddin Abdul Rahman, 20, berkata, beliau tidak menyangka akan muncul pemenang utama bagi pertandingan memilih slot dokumentari paling menarik di NCG yang disertainya melalui laman web pada Mei lalu.
Katanya, beliau tidak menaruh harapan untuk memenangi pertandingan tersebut, apatah lagi menanam impian melihat Benua Antartika dari dekat kerana saingan yang perlu diharunginya bukan calang-calang.
Pertandingan yang julung kali dibuka kepada penonton setia NGC itu disertai oleh lebih 12,500 perserta dari rantau Asia termasuk Singapura, Hong Kong, Thailand, Filipina dan sebagainya.
``Saya dapat simpulkan ini bukan sahaja boleh dianggap durian runtuh, sebaliknya peluang keemasan yang jarang-jarang diperoleh oleh pemuda yang berasal dari kampung macam saya,’’ jelasnya pada sidang akhbar di USM, hari ini.
Mengulas pembabitannya dalam pertandingan tersebut, Muhammad Aizuddin yang kini penuntut tahun dua jurusan Sains Gunaan (Fizik Gunaan) berkata, beliau sangat meminati rancangan National Geographic yang ditayangkan di saluran Astro Malaysia.
``Kebetulan pada pertengahan Mei yang lalu, saya terlihat iklan berkenaan pertandingan itu yang tertera pada skrin televisyen dan bergegas mencari maklumat berhubung perkara itu di internet.
"Pertandingan itu memerlukan setiap peserta memilih tiga episod yang terbaik daripada 30 episod yang telah disiarkan di saluran NGC dan melengkapkan beberapa kriteria yang lain,’’ jelasnya.
Beliau turut berkata, tiga slot yang dipilihnya iaitu The Four Billion City of China, The First Emperior of China dan Becoming of King nyata membawa tuah yang memang tidak pernah terlintas di fikirannya.
``Saya memang banyak menonton NGC namun tiga episod tersebut memang menjadi antara episod yang paling menarik pernah saya tonton,’’ katanya yang merupakan anak jati kelahiran Batu Maung, Pulau Pinang.
Ujar beliau, dengan kemenangan itu beliau berjaya mendapat dua tiket penerbangan pergi dan balik ke Kutub Selatan untuk dua orang dan memilih membawa bersama pensyarah fiziknya, Dr Yoon Tien Leong.
``Pada mulanya saya mahu membawa ayah untuk turut serta melihat pemandangan dari atas kapal terbang di Benua Antartika tersebut namun kesihatannya tidak mengizinkan untuk dia bersama–sama saya merasai kegembiraan itu,’’ jelasnya.
Tambah anak sulung daripada dua beradik itu, sukar untuk menjelaskan perasaannya ketika NGC menghubunginya bagi meklumkan perkara itu, Julai lalu.
"Sukar terlalu teruja dan tidak sabar untuk menunggu bulan Disember. Di kepala saya hanya terbayang benua yang hanya diseliputi ais dan memutih itu ," kata anak kelahiran Batu Maung itu.
Muhammad Aizuddin berkata beliau dimaklumkan bahawa trip itu akan berlepas ke Kutub Selatan pada 31 Disember ini melalui penerbangan dari Sydney, Australia.
Bagaimanapun penerbangan itu tidak akan mendarat di kawasan itu sebaliknya hanya akan terbang rendah dan berpusing di sekitar kawasan berkenaan.
Katanya walaupun tidak dapat menjejakkan kaki di kutub itu, peluang berkenaan adalah yang terbaik dalam hidupnya kerana sebagai seorang 'budak kampung', perkara sedemikian tidak pernah terlintas difikirannya.
"Itu pun sudah cukup buat saya kerana selama ini saya langsung tidak pernah terlintas untuk ke luar negara atau ke sana.
"Jika nak diikutkan pun saya sudah terlepas peluang untuk ke sana kerana gagal membuka emel kerana sibuk dengan kuliah namun berpegang kepada soal rezeki, nyata ia masih memihak kepada saya,’’ katanya yang gembira dengan kemenangannya itu. -
Sumber:usm.my