View Single Post
Siswa USM dipaksa rehearsal 4 pagi, Pro Mahasiswa tampil memo kebajikan!
Old
  (#1 (permalink))
Wira
Junior Member
 
Wira's Avatar
 
Offline
Posts: 4
Join Date: Sep 2008
Siswa USM dipaksa rehearsal 4 pagi, Pro Mahasiswa tampil memo kebajikan! - 09-19-2008, 07:11 AM

Sumber : Siswa USM dipaksa rehearsal 4 pagi, Pro Mahasiswa tampil memo kebajikan! « instinctive-stage G3.0

PULAU PINANG, 28 Mac – Akibat kesal dengan pengabaian kebajikan peserta-peserta Malam Citrawarna USM, beberapa MPP yang menamakan diri mereka sebagai “Pro Mahasiswa” telah mendesak penjelasan jujur daripada Prof. Madya Omar Osman, TNC HEP kira-kira jam 10 pagi di sini.

Dalam pertemuan tertutup tersebut, wakil Pro Mahasiswa telah mempersoalkan pertimbangan Universiti memaksa siswa-siswa menyertai rehearsal saban malam bermula jam 10 malam dan tamat latihan lewat jam 4 pagi.

Sebagai respon balas, TNC HEP menjelaskan bahawa Malam Citrawarna tersebut dipilih sendiri oleh DYMM Raja Perlis. Walau bagaimana pun, beliau bersedia mengkaji dan menerima pandangan daripada exco-exco yang hadir.

Pro Mahasiswa menegaskan bahawa walaupun aktiviti tersebut adalah acara rasmi Universiti dan akan dirasmikan sendiri oleh Pro Canselor, DYMM Raja Perlis; namun aktiviti ini seharusnya tidak mengabaikan kebajikan Mahasiswa dan matlamat asasi Universiti.

Lebih dari itu, berdasarkan banyak laporan yang diterima oleh MPP Pro-Mahasiswa, rata-rata peserta diugut tidak mendapat tempat penginapan di Universiti sekiranya tidak sanggup menjalani rehearsal sebagaimana yang diputuskan oleh jawatankuasa program.

Prof. Madya Omar Osman pula menegaskan bahawa beliau langsung tidak mengetahui wujudnya unsur-unsur ugutan tersebut.

Dalam pertemuan tersebut juga, exco-exco yang hadir juga mempersoalan kesungguhan pihak Universiti untuk memperkasakan pembangunan modal insan.

Ini kerana program berunsur hidonisme lebih banyak dibenarkan oleh Universiti berbanding program-program keagamaan dan keintelektualan.

Sebagai respon, TNC HEP hanya bersenyum dan memberi jaminan untuk menggalakkan aktiviti-aktiviti keagamaan-keintelektualan bermula sesi depan.

Sebelum pertemuan tersebut selesai, MPP Pro Mahasiswa mencadangkan Universiti mengeluarkan suatu guide line aktiviti-aktiviti yang seharusnya dilaksanakan Universiti; dan sebaliknya.

Mereka bersedia bekerjasama dengan HEP dalam memantau aktiviti-aktiviti mahasiswa demi memelihara nama baik Universiti dari tercemar.

Pertemuan tersebut berakhir dengan penyerahan Memorandum Terbuka MPP USM / Pro-Mahasiswa Berhubung Malam Citrawarna Pada 21-22 Mac 2008 kepada Prof. Madya Omar Osman. -END



——————————-

[Di bawah ini adalah paparan asal Memo MPP Pro Mahasiswa tersebut...]

MEMORANDUM TERBUKA

MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR USM / PRO-MAHASISWA

BERHUBUNG MALAM CITRAWARNA PADA 21-22 MAC 2008

Kepada:

Y. Brs. Profesor Madya Omar Osman

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar

Universiti Sains Malaysia

Jumaat, 28 Mac 2008. Pejabat Hal Ehwal Pelajar USM

PENDAHULUAN

Kami, Barisan MPP Pro Mahasiswa Universiti Sains Malaysia sangat prihatin dan peduli pada isu-isu kebajikan mahasiswa; termasuk Malam Citrawarna baru-baru ini. Segelintir mahasiswa yang terlibat telah berjumpa dan merungut kepada kami tentang perkara di atas.

Kami pada asasnya sangat komited dengan program-program kebudayaan Malaysia, terutama program-program yang mampu menjana kecemerlangan mahasiswa selaras dengan visi dan misi Universiti.

Walaupun demikian, Malam citrawarna tersebut dilihat kurang mempamerkan nilai-nilai kebudayaan Malaysia dan ciri-ciri aspirasi universiti itu sendiri.

Bagi kami, mahasiswa patut digalakkan berpartisipasi dengan program-program rasmi universiti. Namun, program-progam tersebut mestilah berlandaskan prinsip keintelektualan mahasiswa dan universiti.

Justeru, kami barisan MPP pro mahasiswa sebulat suara ingin menggesa pihak universiti supaya menilai semula penganjuran Malam Citrawarna samada ia memenuhi aspirasi kebudayaan dan hasrat universiti dalam melestarikan integrasi kaum dalam kalangan warga universiti.

PENDIRIAN TERHADAP MALAM CITRAWARNA

Seperti mana yang kita sedia maklum, latihan malam citrawarna amat membebankan mahasiswa kerana mereka telah mula berlatih seawal jam 9 malam dan hanya akan tamat latihan sekitar jam 3 hingga 4 pagi.

Selain itu, terdapat juga mahasiswa yang diugut tidak akan diberikan hak penginapan desasiswa sekiranya tidak memberikan komitmen terhadap program ini.

Suka diingatkan di sini bahawa Malam Citrawarna ini juga masih dalam periodisasi umat Islam menyambut Maulidurasul sedangkan realiti yang berlaku dalam penganjuran citrawarna tersebut menunjukkan penggiat dan penonton bergaul bebas. Maka, penganjuran ini dilihat telah menyentuh sensitiviti umat Islam sekaligus imej murni universiti akan dipandang serong kerana rata-rata pentadbir universiti adalah beragama Islam.

Kami juga berpendirian bahawa penganjuran citrawarna ini hanya memfokuskan kepada kecemerlangan jasmani dan mengabaikan tiga lagi aspek penting dalam pembentukan modal insan yang holistik, iaitu emosi, rohani dan intelek. Hal ini secara tidak langsung telah mempamerkan kepincangan dalam usaha memanifestasikan hasrat murni universiti dalam menghasilkan modal insan berkualiti.

Justeru, kami berpendirian bahawa Malam Citrawarna ini adalah kurang rasional dan perlu dikaji semula. Kami amat khuatir akan prestasi akademik penggerak dan juga peserta program tersebut. Fenomena ini juga boleh mencalarkan imej universiti pada pandangan mata masyarakat dan ibu bapa.

TUNTUTAN KAMI, MPP USM PRO MAHASISWA:

1. Mengkaji semula tujuan asal dan implikasinya terhadap pembangunan modal insan dalam kalangan mahasiswa.

2. Universiti perlu menjelaskan pendirian rasmi Universiti terhadap program tersebut terhadap memorandum ini.

3. Universiti juga perlu mengeluarkan satu garis panduan pempiawaian program dengan mengambil kira kepentingan budaya, agama, keintelektualan dan realiti kebajikan mahasiswa itu sendiri.

4. Menuntut universiti menubuhkan jawatankuasa pemantau program-program universiti dan MPP pro Mahasiswa sedia untuk mengisi keanggotaan jawatankuasa tersebut demi menjaga kesejahteraan kampus sejahtera.
Justeru, kami Barisan kepimpinan MPP Pro mahasiswa menaruh harapan yang tinggi agar tuntutan kami ini dipertimbangkan, seterusnya dilaksanakan demi memelihara nama baik universiti dan kebajikan pelajar itu sendiri. Kami juga bersedia pada bila-bila masa untuk berbincang mengenai kebajikan mahasiswa dan kepentingan universiti.
Sekian, terima kasih.

“PRO MAHASISWA SEDIA MEMIMPIN”
“WE UNITE FOR STUDENT’S AGENDA”


Disediakan oleh,

MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR PRO MAHASISWA USM

SESSI 2007/2008
   
Reply With Quote