
PULAU PINANG, 4 Ogos – Unsur kreatif dan unik dalam membuat persembahan dilihat antara kriteria utama yang membawa kepada kemenangan Desasiswa Bakti Permai dalam pertandingan Malam Variasiswa yang berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), Universiti Sains Malaysia (USM) di sini baru-baru ini.
Perkara itu diakui oleh Pengarah Projek Malam Variasiswa, Syamsul Buang ketika diminta mengulas kemenangan Bakti Permai dalam acara kemuncak bagi bagi program minggu suaikenal Sidang Akademik 2008/09 tersebut.
Bakti Permai mempersembahkan teater muzikal dengan dendangan puisi dan diiringi oleh persembahan lakonan mantap oleh lebih 20 peserta yang terlibat.
``Mungkin faktor dipilih sebagai penganjur menjadikan mereka berlatih dengan bersungguh-sungguh dan menunjukkan persembahan yang mantap sehingga dinobat juara,’’ jelasnya.
Tambah beliau, konsep pertandingan pada tahun ini berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya iaitu lebih menekankan kepada aspek kelestarian kampus dan mementingkan nilai pengajaran yang dibawa dalam setiap persembahan.
``Kita mahu melahirkan mahasiswa yang peka terhadap aktiviti dan dasar-dasar yang cuba dilaksanakan di peringkat universiti, sekaligus menjadi golongan mahasiswa yang tidak hanya terperuk dalam dunianya tersendiri,’’ jelas beliau.
Tambah Syamsul, banyak perkara boleh dilakukan dalam usaha mendukung matlamat universiti untuk muncul sebagai sebuah kampus yang lestari secara keseluruhannya, termasuk melalui program-program berunsurkan persembahan seperti malam variasiswa.
Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar USM, Prof. Madya Omar Osman pula berkata, secara keseluruhan program tahunan kali kesembilan itu berjaya mencapai objektif yang ditetapkan termasuk mengajar pelajar mengenai aspek toleransi dan kerjasama.
``Setiap persembahan perlu menonjolkan aspek kreativiti dan ketulenan idea. Untuk mendapatkan idea baru mereka perlu berfikir dan saya gembira kerana dapat melihat kreativiti tersebut dalam setiap persembahan pada kali ini,’’ jelas beliau.
Tambahnya, para pelajar juga perlu mencipta kelainan dan tampil luar biasa dalam setiap acara yang dilaksanakan kerana dengan menjadi luar biasalah yang dapat membezakan USM dengan lain-lain universiti di negara ini.
``Jangan takut untuk mencari kelainan dan jangan terlalu memberi fokus kepada unsur hiburan semata-mata. Sebaliknya pelajar perlu menerapkan unsur pengajaran dan mempertingkatkan kesedaran awam mengenai pelbagai perkara yang berkaitan dengan pembangunan insan,’’ jelas beliau lagi.
Sementara itu, program yang sentiasa menggamatkan DTSP USM itu tampil dengan tema ‘Mahasiswa Bersatu’ pada tahun ini. Ia turut melibatkan penyertaan keseluruhan Desasiswa USM, termasuk Kampus Kejuruteraan, Nibong Tebal dan Kampus Kesihatan, Kelantan.
Malam Variasiswa pada tahun ini mengekalkan corak pertandingan persembahan kreatif dengan mengambil kira aspek kelestarian termasuk memberi penekanan kepada persembahan yang menjurus kepada mempromosikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan pihak universiti.
Antara intipati persembahan pada malam tersebut banyak berkisar kepada kempen melestarikan kampus dengan langkah menghapuskan penggunaan polistirena, USM bebas tembakau, kampus berbasikal dan sebagainya.
Sumber : usm.my







_