Sumber : bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Kajian kemiskinan peringkat nasional meliputi seluruh lapisan rakyat negara ini sedang digerakkan secara bersepadu antara institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi membantu kerajaan merangka program pembasmian lebih berkesan.
Setakat ini, IPTA yang sudah mengesahkan kerjasama dalam jaringan penyelidikan strategik itu ialah Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM), manakala universiti lain dalam proses perbincangan.
Pakar ekonomi daripada Fakulti Sains Sosial USM, Prof Dr Amir Hussin Baharuddin, berkata kajian itu amat penting untuk mengenal pasti pendekatan menangani masalah kemiskinan dan persediaan menghadapi krisis pada masa depan akibat senario ekonomi global tidak menentu.
“Kajian ini membabitkan kerjasama pakar pelbagai fakulti di IPTA kerana isu kemiskinan saling berkaitan dengan banyak aspek lain seperti bangsa, ciri kebudayaan dan perubatan. Selain itu, kita juga akan mendapatkan bantuan Jabatan Statistik.
“Justeru, kajian ini akan meliputi seluruh lapisan rakyat negara ini dari segenap kaum, etnik, latar belakang, taraf ekonomi serta penempatan bandar dan luar bandar,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Beliau mengulas laporan akhbar semalam yang memetik titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah, bahawa kajian kemiskinan terperinci perlu dibuat sebagai sumber maklum balas kepada kerajaan untuk merangka program pembasmian lebih berkesan.







_