![]() |
Keadaan berubah apabila watak yang kerap dimainkan oleh perempuan kini bertukar kepada lelaki
SETIAP kali terdengar lagu "Mengadap Rebab", Rosnan Abdul Rahman, 36, berasa seakan semangatnya dipanggil. Ia seperti ada tarikan yang sangat kuat antara patah lagu pembukaan persembahan Mak Yong itu dengan dirinya.
Justeru, tidak hairan apabila Rosnan yang berkelulusan Sarjana Muda Sains Seni Bina dari Universiti Sains Malaysia (USM) akhirnya membabitkan diri dalam persembahan Mak Yong.
“Antara perkara utama dalam Mak Yong ialah bahasanya. Memang susah nak belajar dialek Kelantan yang digunakan dalam persembahan Mak Yong kerana ritma dan lenggoknya sangat istimewa walaupun kadang kala susah difahami,” katanya.
Uniknya, Rosnan berbanding pemain Mak Yong lain adalah satu-satunya pemegang watak lelaki utama di Malaysia atau disebut Pak Yong. Lebih istimewa dia tidak terdidik secara formal dalam dunia seni persembahan.
![]() |
| Gaya Makyong lelaki |
“Saya menjadi Pak Yong buat pertama kalinya dalam persembahan Mak Yong, Dewa Indera Indera Dewa. Mulanya saya keberatan, tetapi selepas dipujuk guru saya, Fatimah Abdullah, saya terima.
“Ada orang mengatakan saya akan hilang sifat kelelakian kerana menjadi Pak Yong kerana saya akan disolek tebal selain perlu memakai aksesori berkilau. Saya pekakkan telinga saja, biarlah orang kata apa, asal saya tahu diri saya yang sebenar,” katanya.
Rosnan mengenali seni Mak Yong sejak di USM lagi. Ketika itu hanya mengisi masa lapang sebagai penari Kumpulan Seni Dewan Budaya USM. Bagaimanapun, sebaik tamat pengajian dia bekerja di bahagian produksi Istana Budaya. Dari situ, minat pada Mak Yong kembali bercambah.
Selain itu, Rosnan juga datang daripada keluarga pemain Mak Yong. Neneknya, Che Mah Saman, bekas primadona Mak Yong di Kedah.
![]() |
| Rosnan Abdul Rahman |
“Hari ini mungkin saya seorang saja Pak Yong di Malaysia. Namun, sebelum saya, ada seorang lagi Pak Yong yang dimainkan Mat Dollah atau lebih dikenali sebagai Pak Su Mat atau Mat Hindustan dari Kumpulan Mak Yong Cahaya Bulan,” katanya.
Rosnan berkata, beliau mengenali Pak Su Mat ketika menonton persembahan Mak Yong di Actor Studio. Waktu itu terlintas di hatinya untuk berguru dengan Pak Su Mat, tetapi hasratnya tidak kesampaian apabila Pak Yong pertama itu meninggal dunia pada 2005.
Selepas diharamkan di Kelantan dan kematian Pak Su Mat, memang sukar mencari lelaki yang mampu menjadi Pak Yong. Selain perlu mahir menari, berlakon dan menyanyi, komitmen menjadi Pak Yong sangat tinggi.
Apatah lagi watak Pak Yong sangat kerap dimainkan oleh perempuan. Ini kerana Mak Yong diwarisi sebagai hiburan di istana. Oleh kerana raja mahu melihat perempuan cantik, watak Pak Yong juga dimainkan perempuan. Malah, konsep cantik itu sangat penting dalam Mak Yong kerana adatnya, yang cantik itulah diangkat sebagai primadona.
Mak Yong tidak lekang dari persoalan mistik dan perkara ini diakui oleh Rosnan. Bagaimanapun, Rosnan sering diingatkan bahawa jangan bersikap riak dan takbur.
“Mungkin dulu Mak Yong itu dikaitkan dengan unsur mistik dan spiritual. Tapi sekarang tidak lagi. Lagu Mengadap Rebab itu hanya lagu pembukaan, tiada lagi unsur mistik. Kita hanya buat persembahan. Memang tiap langkah dan gerak tari dalam Mak Yong ada maksud dan falsafah, tapi kita perlu ingat apa yang kita buat kembalilah pada Allah,” katanya.
Mak Yong di Malaysia berbalam nasibnya. Sejarah Mak Yong mencatatkan hanya beberapa kumpulan saja yang aktif antara 1926 hingga 1970. Antaranya kumpulan Seri Temenggung yang dipimpin Allahyarhamah Khatijah Awang dan beberapa lagi kumpulan di Kelantan tetapi tidak aktif.
Selepas Pertubuhan Kebudayaan, Saintifik dan Pendidikan Sedunia (Unesco) mengiktiraf Mak Yong sebagai warisan seni dunia pada 2005, Istana Budaya mengambil inisiatif menubuhkan kumpulan Mak Yong. Namun, Pak Yong yang dimainkan Rosnan agak terbatas kerana kedudukannya sebagai kakitangan kerajaan.
“Saya paling gusar memikirkan jika saya naik pangkat, saya mungkin akan ditukarkan ke kementerian lain. Agaknya, adakah orang lain yang sanggup belajar menjadi Pak Yong?,” katanya.
PROFIL: Rosnan Abdul Rahman
Usia : 36
Asal: Pokok Sena, Kedah
Kelulusan: Sarjana Muda Sains Seni Bina Universiti Sains Malaysia
Kerjaya: Penolong Pengarah, Bahagian Produksi, Istana Budaya.
Info










_