![]() Memori karya James Seet menggabungkan beberapa kendi dalam kedudukan istimewa. |
Bawa nilai agama dan budaya untuk dikongsi dengan pengunjung
PAMERAN Seni Seramik Kontemporari Asia 2009 di Muzium dan Balai Seni Lukis Pulau Pinang, Dewan Sri Pinang, Universiti Sains Malaysia (USM), menghimpunkan keunikan karya sentuhan 43 artis luar negara dan 15 pengkarya tempatan dalam menanggapi kehidupan berasaskan kaca mata insan seni.
Pelukis dari Korea Selatan, China, Jepun, Taiwan, Thailand, Indonesia, India, Nepal, Vietnam , Singapura dan Malaysia bergabung tenaga menjayakan pameran pertama dan terbesar di Pulau Pinang yang mengangkat seni seramik sebagai wahana untuk memberi nasihat dan maksud mendalam, berbanding aspek komersial yang diketengahkan selama ini.
Nenek Kemang sentuhan Pensyarah Jabatan Seramik, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Salwa Ayob, pasti akan mengembalikan ingatan pengunjung kepada legenda sekitar awal 1900-an mengenai kehebatan tokoh yang dipercayai mampu memberi semangat kepada padi, sekali gus memberi pulangan lumayan kepada petani.
Salwa menghasilkan karya terbabit selepas tergerak untuk menzahirkan kehadiran Nenek Kemang bagi memberi penghormatan kepadanya yang dilihatnya sebagai pengasas atau asal usul kepada tembikar Melayu dengan harapan dapat berkongsi mengenainya dengan pengunjung.
![]() |
| Siri Arca Nordian Ichsan menggunakan batu dan simen sebagai asas untuk berkarya. |
Proses menghasilkan Nenek Kemang bermula dengan menghasilkan tembikar yang kemudian dibakar bagi mendapatkan bentuk seakan-akan kuali berkaki tiga, sesuai dengan bangun fizikalnya sebagai warga emas menggunakan tongkat untuk bergerak.
Salwa menggunakan kaedah tradisional dalam proses pembakaran dengan menggunakan serkam padi yang dicampur sedikit garam kasar serta ranting kayu ke dalam lubang sedalam dua kaki sebelum ditimbus bagi mendapatkan warna berkarat, mewakili nilai estetikanya.
"Proses membakar ini mengambil masa dua hari, sebelum kerja meletakkan bungkah kayu sebagai antara hiasan boleh dilakukan dan semua ini bertujuan menguatkan lagi imej Nenek Kemang sebagai hantu pemberi semangat padi," katanya pada pertemuan dengan Galeri, baru-baru ini..
Karya Pensyarah Jabatan Seni Visual & Teknologi, Fakulti Seni Gunaan & Kreatif Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Awangku Hamdan Pangeran Arshad, The Essence, membawa pengertian kepada kehidupan manusia yang ada turun naik, tidak kurang menarik.
"Karya ini bersifat abstrak dengan lakaran berselerak dan menggunakan pelbagai warna bagi menunjukkan betapa kehidupan manusia sebenarnya tidak menentu. Saya menzahirkan hakikat ini dalam bentuk seramik bagi memberi nasihat kepada orang ramai agar sentiasa bersedia menghadapi situasi tidak menentu berkenaan," katanya.
Dream Hanger karya Chang Nam Sook dari Korea Selatan yang mengangkat imej seekor itik tergantung di seramik dan kelihatan seperti penggantung baju, meskipun ringkas sebenarnya menarik dan membawa mesej mendalam berhubung pentingnya kebebasan di maya pada ini.
Pengarah ACN, Park Sun Woo yang hadir pada pelancaran pameran terbabit, berkata pihaknya bersedia memberi kerjasama bagi menjayakan program terbabit kerana pihaknya sedar program terbabit dapat mengembangkan seni seramik kontemporari di Asia.
"Perkongsian dan kajian maklumat terhadap suasana dalam dunia seni terutama seramik wajar dilakukan bagi memartabatkan lagi seni ini agar terus dapat bersaing dan dapat diterima masyarakat kini," katanya. -Berita Harian









_