KUBANG KERIAN 12 Feb - Jabatan Neurosains, PP Sains Perubatan mencatat sejarah apabila Makmal Neurosainsnya telahpun sempurna dirasmikan oleh Y. Bhg. Tan Sri Ani Arope, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Malaysia pada 12 Februari 2006.
Mengikut Tan Sri Ani, makmal ini adalah yang pertama seumpamanya di negara ini dan tiada juga lagi universiti tempatan lain yang memiliki makmal lengkap untuk kajian dan khidmat bagi bidang Neurosains, yang kos pembinaannya berharga hampir RM1 juta ini dengan alat tercanggih bernama ‘Patch Clamp’ yang pertama terdapat di Malaysia.
Kewujudannya diharapkan akan menjadi pemangkin dalam penyelidikan bertaraf dunia bagi mengharumkan lagi nama USM amnya dan bidang neurosains khususnya, tambah beliau di hadapan para tetamu termasuk Naib Canselor USM, Y.Bhg Prof. Dato' Dzulkifli Abdul Razak, Pengarah Kampus, Kampus Kesihatan, Y.Bhg Prof. Dato' Mafauzy Mohamed, Pemangku Pengarah HUSM, Dr. Zaidun Kamari serta pegawai-pegawai utama universiti yang lain. Hadir sama ialah Prof. Jafri Malin Datuk Abdullah, Ketua Jabatan Neurosains yang sebelum itu telah menyampaikan Syarahan Umum Pelantikan Profesor beliau di Dewan Utama. Tajuk yang disampaikan ialah 'Penyelidikan Sains Asas, Gunaan & Klinikal: Perjuangan Yang Belum Berakhir' dihadapan lebih 500 tetamu.
Menurut Naib Canselor pula, dalam ucapan beliau, kita kini sedang giat menjalankan penyelidikan merangkumi teori matematik baru dalam penjanaan gelombang otak bersama-sama dengan Jabatan Matematik Tulin, UTM Skudai, pemetaan otak atau lebih dikenali ‘barain mapping’ dengan UKM, vaksin untuk mengawal pertumbuhan kanser otak di peringkat haiwan dengan UPM. Penyelidikan intrakampus seperti muzik untuk mententeramkan minda dan jiwa kanak-kanak spastik bersama Pusat Seni, neuromekatronik bersam-sama PP Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Peralatan dikotomi pendengaran untuk pemetaan pendengaran di kalangan pesakit epilepsy, cecair sintetik otak dengan sebuah syarikat pembuat cecair untuk kegunaan manusia iaitu ‘patch clamp’ yang baru kita miliki, yang berupaya menyukat ransangan fisiologi neuro kepada ubat-ubatan yang dapat digunakan untuk memori atau penahan sakit.
Prof. Jafri pula dalam ucapan aluan beliau terdahulu pada awal Majlis Perasmian Makmal Neurosains ini, menyatakan rasa amat berterima kasih kepada Naib Canselor yang telah mengambil inisiatif dan komitmen padu untuk mewujudkan 'Brain Cluster Network' pada 1 Jun 2004 yang mana telah menjadi platform kepada penubuhan makmal ini dan diharapkan segala usaha universiti untuk menubuhkan Institut Neurosains untuk kajian dan penyelidikan otak dan saraf akan tercapai dengan jayanya kelak.
Bagi beliau, ianya juga banyak bertitik tolak dari graf kecemerlangan neurosains melalui hasil kajian dan ciptaan terbaru yang telah banyak menempa nama di peringkat antarabangsa. Antaranya pada Disember 2005, hasil kajian daripada pengkulturan ‘schwan cell’ yang terdapat pada sel-sel saraf yang selama ini amat sukar dan mustahil untuk dilakukan telah berjaya dibentangkan di “International Spinal Cord Injury Symposium”, Hong Kong.
Setelah dinaik taraf dari sebuah unit yang bermula pada Ogos tahun 2000 kepada sebuah jabatan pada Mei 2004, dan penubuhan Makmal Neurosains ini pada penghujung tahun lepas, Jabatan Neurosains berkemampuan menyediakan latihan klinikal neurosains untuk ijazah dan lepasan ijazah untuk menjalankan kajian dalam bidang "Basic" dan "Clinical" Neurosains. Dan kita tentunya kelah akan mencapai hasrat melahirkan sekurang-kuranya 2 orang PhD setahun, 5 MSc (Neurosains), 8 pakar bedah surgery neuro dan 8 neurologi perubatan setiap tahun.
Dalam akhir ucapan beliau, dinyatakan bahawa penyelidikan sains otak adalah satu-satunya bidang penyelidikan yang dijalankan oleh Malaysia dan ianya ialah di Universiti Sains Malaysia. Seperti kata Naib Canselor juga, menjelang tahun 2020, Malaysia ingin mencapai nisbah 10 saintis neuro bagi setiap 100,000 penduduk.







_