PULAU PINANG 1 Mac - Usaha 24 penuntut New Millenium Graduates (Nemgrads) Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan kempen Kick Off Green Generation harus dicontohi oleh mahasiswa universiti tempatan lain.
Kempen tersebut bertujuan membangkitkan kesedaran kepada generasi hari ini dan akan datang tentang pentingnya menjaga dan memulihara alam sekitar.
Menerusi program tersebut, kumpulan pelajar itu mengharapkan agar perbuatan memusnahkan alam sekitar atas nama pembangunan sekalipun perlu dihentikan.
Naib Canselor USM, Tan Sri Dr. Dzulkifli Abdul Razak berkata, beliau berharap melalui kempen tersebut masyarakat sekarang dan generasi baru akan lebih berhati-hati terhadap masalah alam sekitar yang berlaku di negara ini.
"Saya tahu bukan mudah untuk mengubah minda serta perspektif seseorang individu itu terhadap sesuatu perkara kerana ia perlu dipraktikkan setiap hari dalam kehidupan seharian.
"Namun, saya percaya dengan usaha berterusan digiatkan menerusi kempen ini, masyarakat akan mula memahami serta sedar mengenai kepentingan untuk menjaga alam sekitar," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis kempen 'Kick Off Green Generation' yang turut dihadiri Dekan Pusat Pengajian Komunikasi USM, Prof. Madya Adnan Hussein dan Penasihat Projek itu, Dr. Jamilah Ahmad di sini baru-baru ini.
Kempen tersebut merupakan sebahagian daripada projek penuntut tahun akhir universiti itu dengan isu berbeza-beza untuk diketengahkan dan pada tahun ini isu sosial pula ditekankan.
Selain menjalankan aktiviti tersebut, Nemgrads turut mengadakan bengkel serta promosi kempen jelajah zon utara termasuk ke Kedah dan Perak sejajar usaha memupuk kesedaran orang ramai terhadap alam sekitar. - UTUSAN







_