USM Edu Community

Sunday
Aug 01st
Text size
  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
Home ipta USM ipta-USM USM temui Kilang lebur besi abad ke-3

USM temui Kilang lebur besi abad ke-3

E-mail Print PDF
SUNGAI PETANI: Sekumpulan arkeologis Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM) menemui artifak prasejarah berupa bangunan dan kilang melebur besi abad ke-3 Masihi hasil projek ekskavasi di Sungai Batu, Semeling, dalam Lembah Bujang, dekat sini. 

Penemuan itu di dua kawasan berdekatan di ladang kelapa sawit Jalan Lencongan Merbok, baru-baru ini, membuktikan tamadun dan kehidupan sebuah komuniti manusia prasejarah di Lembah Bujang lebih awal daripada jangkaan sebelum ini.

Naib Canselor USM, Prof Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak yang mendedahkan hal itu semalam berkata, ia penemuan penting sejarah ketamadunan manusia di Malaysia. 

Katanya, tarikh itu menggambarkan permulaan (penggunaan) besi dan kegiatan melebur bijih besi secara komersial yang awal di kawasan Lembah Bujang.

Ekskavasi itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Warisan Negara, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang meluluskan geran sebanyak RM2.3 juta, bermula 1 Februari lepas dan disertai 70 orang termasuk pelajar USM. 

“Penemuan ini bukti kukuh tamadun manusia prasejarah bersandarkan pengetahuan asas, perdagangan dan penghasilan bahan industri berskala besar,” katanya kepada pemberita semasa membuat lawatan kerja ke tapak penemuan itu. 

Projek ekskavasi itu diketuai Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, Prof Madya Dr Mokhtar Saidin membuahkan hasil apabila menemui artifak berkenaan selepas dua minggu menggali, katanya. 

Dzulkifli berkata, projek ekskavasi itu sebahagian pelan pembangunan Taman Warisan Lembah Bujang Jabatan Warisan Negara. 

“Penemuan di kawasan Sungai Batu seluas 3 kilometer persegi ini berbeza dengan artifak ditemui di tapak lain di Lembah Bujang. Sebelum ini pakar arkeologi hanya menemui bangunan bercirikan candi purba.

“Penemuan terbaru di tapak Sungai Batu I mengandungi batu-bata dipercayai kediaman atau pejabat dan satu lagi (Sungai Batu II) berfungsi sebagai kilang peleburan besi,” katanya. 

Menurut Dzulkifli, penemuan kedua-dua tapak itu dianggap penting kerana mungkin dapat merungkai persoalan berhubung usia sebenar permulaan peradaban Lembah Bujang.

“Pakar sebelum ini membuat pelbagai andaian berhubung penemuan candi di sekitar Lembah Bujang. Ada menyatakan ia berusia sekitar tahun ke-5 hingga 8 Masihi tetapi penempatan baru yang ditemui ini dan disifatkan tertua di Asia Tenggara membawa makna lebih besar pada sejarah peradaban negara,” tambahnya. 

Mokhtar berkata, sampel arang yang ditemui di tapak pembuatan besi dihantar menjalani ujian ‘Radiokarbon Dating’ di Beta Analytic Inc, Florida, Amerika Syarikat yang mengesahkan ia berusia sekitar abad ke 3 hingga 4 Masihi. - Bernama
 

About USM

Konsep "Universiti Di Dalam Taman" yang diadunkan oleh USM ini menunjukkan hubungan akrab di antara peranan dan fungsinya sebagai institusi pengajian tinggi dalam persekitaran taman yang segar. Unsur flora, fauna, air dan ciptaan-ciptaan lain merupakan hubungan yang dinamik dalam penerokaan kehidupan selanjutnya. Konsep ini mengajak kita untuk mengekalkan kehijauan kampus sebagai sebahagian daripada usaha membangunkan dunia intelek. Kita perlu semarakkan semangat dan amalan dalam menjaga persekitaran kampus, malah terus menyayangi dan menghargai alam semula jadi dan ekologi yang dianugerahkan Tuhan di hati dan pemikiran pada setiap warga kampus.

Travel tips

USM Museum & Gallery, USM Campus, Penang: 
Exhibits on arts and culture like drama, fine arts and traditional music, anthropology, also ethnography, science and technology, ecology and environment, archaeology and a mini planetarium.
Opens: Monday-Thursday from 9.00am to 4.30pm; Friday from 9.00am to 12.15pm
and 2.45pm to 4.30pm; Saturday from 9.00am to 12.45pm
Tel: 604-657 7888 ext. 3261/3267/2427. Fax: 604-656 3531. Admission is free.

Latest Posts

Who's Online

We have 6 guests online

Statistics

Members : 14
Content : 67
Web Links : 6
Content View Hits : 23188

Sponsors